GuidePedia

0


SEPERUNTUNGAN
Setelah beberapa lama kemudian, dengan tidak disangka-sangka satu musibah besar telah
menimpa kami berturut-turut. Pertama ialah kematian sekonyong-konyong dari Engku Haji Jaafar
yang dermawan. Ia seorang yang sangat dicintai oleh penduduk negeri, kerana ketinggian budinya
dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada satu pun perbuatan umum di sana yang tak
dicampuri oleh Engku Haji Jaafar.
Kematiannya membawa perubahan yang bukan sedikit kepada perhubungan kami dan
rumahtangga Zainab. Dia yang telah membuka pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya
di zaman hidupnya, sekarang pintu itu mahu tak mahu telah tertutup. Sebagai seorang lain,
Pertemuan kami tidak berleluasa seperti dulu lagi. Ah…. zaman semasa anak-anak, dia telah
pergi dari kalangan kami dan tak akan kembali lagi.
Belum beberapa lama setelah budiman itu menutup matanya,datang pula musibah baru kepada
saya. Ibu saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun-tahun telah
ditimpa sakit, sakit yang selama ini telah melemahkan badannya, iaitu penyakit dada. Kerapkali
Zainab dan ibunya datang melihat ibuku, dan duduk dekat kepalanya, sedang saya duduk menjaga
dengan diam dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah berkata; " Ah luka lama yang belum sembuh
sekarang datang pula yang baru. Belum lama saya menjagai suami saya sakit, sekarang saya mesti
melihat sahabat saya yang menanggung sakit. Mudah-mudahan ia lekas sembuh."
Waktu itu Zainab diam dalam menungnya, di hadapan ibu yang sedang sakit, kerapkali ia melihat
kepada saya dengan muka yang tenang, dan agaknya bersertaan dengan nasib yang
ditanggungnya sendiri. Tetapi sepatah kata pun tak keluar daripada mulutnya dan saya pun
melihat pula, sehingga kedua mata kami bertemu dan dari dalam ruang-ruang mata yang hitam,
seakan-akan terbayang berulang-ulang beberapa perkataan yang penting, meskipun lidah tiada
sanggup menunjukkan ertinya.
Mak Asiah pergi bersama Zainab, di meja mereka letakkan sepinggan bubur yang telah
didinginkan, ditutup dengan sebuah piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan nasi. Ketika
ia akan pergi, ia berkata:" Jagalah ia baik-baik, jika ia bangun kelak, berilah bubur ini barang
sesenduk pun."
" Baiklah mak"-kata saya.
 Pintu mereka tutupkan baik-baik dan mereka pun pergi. Setelah beberapa saat kemudian ibuku
mengembangkan matanya; di dalamnya hanya kelihatan tinggal cahayaa dari kekerasan hati,
padahal Kekuatan telah habis sama sekali.
Dicarinya saya dengan matanya yang telah kabur, tangannya yang telah tinggal jangat pembalut
tulang itu mencapai-capai ke kiri ke kanan mencari tangan saya, dengan segera saya berikan
tangan kanan saya, dipegangnya erat-erat dan dibawanya kemulutnya seraya diciumnya, lama
sekali; dari matanya titik airmata yang panas.
" Hamid"- katanya, rupanya kekuatan kembali sedikit; " Ibu hendak berbicara dengan engkau,
penting sekali, nak!"
" Lebih baik ibu diamkan dahulu, agaknya ibu terlalu payah."
" Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk menyampaikan bicara ini kepadamu."
" Apakah yang ibu maksudkan?"
" Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah mengetahui suatu rahsia pada dirimu."
" Rahsia apa ibu?"
" Engkau cinta kepada Zainab!"
" Ah, tidak ibu, itu barang yang amat mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda
tak cinta padanya dan takut akan cinta, anakanda belum kenal " cinta." Anakanda tahu bahawa
jika anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang mencurahkan
semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan berubah sifatnya kerana
semangkuk air itu."
" Wahai anakku, dari susunan katamu itu telah dapat ibu membuktikan bahawa engkau sedang
diserang penyakit cinta, takut akan kena cinta, itulah dia sifat daripada cinta; cinta itulah yang
telah merupakan dirinya menjadi suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus harapan, takut,
cemburu, hiba hati terkadang-kadang berani. Di hadapan ibumu yang telah lama merasai pahit
dan manis kehidupan tidaklah dapat engkau sembunyikan lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku
masih terang-benderang."
" Anakku …… sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang hanya
menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak. Dari belum berbahaya sebelum ia
mendalam, kerapkali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan
hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tetap engkau menjadi seorang anak yang berputus asa, apa
lagi kalau cinta itu tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya…..
" Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan timbul-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan
juga, bahawa emas tak setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang."
" Ayahnya, orang yang telah memenuhi cita-cita kita dengan nikmat, sekarang tak ada lagi,
ertinya telah putus tali yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga orang di sana. Meski
pun ibu Zainab seorang yang penuh dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya kepada kita
tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi famili-famili mereka yang bertali darah sudah banyak
yang akan turut mengatur keadaan pergaulan rumahtangga itu, iaitu orang-orang baru yang tidak
kenal akan kita."
 " Memang anak,….. cinta itu " Adil" sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak
memperbeza-bezakan antara raja dengan orang meminta-minta, tiada menyisihkan orang kaya
dengan orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan kadang-kadang tidak juga berbeza
baginya antara bangsa dengan bangsa, tetapi aturan pergaulan hidup, tiada membiarkan yang
demikian itu berlaku, orang sebagai kita ini telah dicap dengan darjat " Bawah" atau "
Kebanyakkan" sedang mereka diberi nama " cabang atas"; cabang atas ada kalanya kerana
pangkat dan ada kalanya kerana harta benda. Cincin emas orang sayang hendak memberi
bermatakan kaca, tentu dicarikan orang, biar lama, permata intan berlian, atau zamrud dan nilam
yang telah diasah oleh orang rantai perintang-perintang hatinya, kerana lama menanggung dalam
penjara."
" meski pun Zainab suka kepada engkau…. Kerana agaknya batinnya suci daripada perasaan
takbur dan mengangkat dirinya, tidaklah langsung kalau ibunya tak suka. Diletakkan ibunya suka,
bermuafakat orang itu dahulu dengan kaum kerabat, handai dan taulan. Kalau mereka tak sepakat,
waktu itulah kelak kau diserang oleh putus asa, oleh malu, dan kadang-kadang memberi melarat
kepada jiwamu. Sebab api masih belum besar tidak engkau padami lebih dahulu."
" Tidak ada yang lebih baik untuk melupakan hal itu sebelum ia mendalam, sebab cinta kepada
orang yang demikian, adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke dunia, kerana ia berbesar
hati melihat engkau telah besar. Ia tahu dan melihat segala apa yang kejadian dalam dunia ini, dan
ia ingin sekali hendak datang. Tetapi sayang…. Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan
alam barzakh….."
Lama saya termenung mendengarkan perbicaraan ibu itu, pertama kerana amat dalam
penyelidikannya kepada faham hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang timbul,
seakan-akan malaikat yang memimpin dia sedang berbicara, yang tidak saya sangka-sangka akan
sejelas itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab:" Terima kasih, ibu, nasihat ibu masuk
benar kedalam hatiku, semuanya benar belaka, sebenarnya sudah lama pula anakanda merasa
yang demikian, sehingga dengan hati sendiri anakanda berjanji hendak melupakannya, yang amat
ajaib ialah peperangan otak dengan hati. Tetapi bila kelihatan rumahtangga, atau kelihatan
rupanya sendiri, dan kadang-kadang bila namanya disebut orang hati ini lupa akan perintah otak,
ia kembali berdebar, ia surut kepada kenang-kenangannya yang lama. Inilah yang kerapkali
mengalahkan anakanda."
" Ah, anakku, pandai benar engkau mewartakan nasibmu kepada ibumu! Mengapa engkau segila
itu benar, pada hal agaknya engkau belum mengetahui bagaimana pula perasaan Zainab kepada
dirimu?"
" Wahai ibu, Cuma anakanda tahu bahawa cintaku mendapat sambutan dengan semestinya,
agaknya tidaklah separah ini benar luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling
mujarab bagi seorang anak muda dalam hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati anak
muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda ketahui bahawa airmata anakanda yang
selama ini telah banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam di pasir; bahawa pengharapan
dalam menuju hidup tak terhambat ditengah jalan; bahawa cita-cita hendak memandangi langit
tidak di halangi oleh awan. Cinta anakanda kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk
badannya, tetapi jiwa anakandalah yang mencintai jiwanya, kecintaan anakanda bukan
dipeterikan oleh kebiasaan bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun surat-surat
kiriman. Kebebasan pergaulan bisa ditutupi dengan perangai yang dibuat-buat dan kepintaran
mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan hati. Anakanda menyintai Zainab kerana
budinya; di dalam matanya ada terkandung suatu lukisan hati yang suci dan bersih."
 " Anakku, sudah tinggi fikiranmu rupanya, sudah dapat engkau menerangkan perasaan hati
dengan perkataan yang cukup, sudah menurun pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu tak dapat
menyambung perkataan lagi….. perkataanmu hanya ibu sambut dengan airmata. Hanya kepada
Tuhan ibu berharap, mudah-mudahan Dia memberikan anugerah dan perlindungan akan dirimu.
Dia yang telah menanamkan perasaan itu ke dalam hatimu, Dia pula yang berkuasa mencabutnya.
Mudah-mudahan itu hanya suatu khayal, suatu angan-angan yang kerapkali mempengaruhi hati
anak muda, yang dapat hilang kerana pergantian siang dan pertukaran malam."
" Mudah-mudahan," jawab saya.
Demikianlah nasihat kepada saya, setelah itu kekuatannya tak ada lagi. Dari saat ke saat, hanya
kelihatan kepayahannya menyelesaikan nafas yang turun naik. Kadang-kadang dilihatnya saya
tenang-tenang dan dingangakan mulutnya sedikit minta minum. Ubat-ubatnya tak memberi
faedah lagi. Tidak beberapa malam setelah dia memberi nasihat itu, datanglah masa yang
ditunggu-tunggunya, masa berpindah daripada alam yang sempit kepada alam yang lapang.
Sementara saya asyik meminumkan ubat, di tangan kanan saya terpegang sudu dan di tangan kiri
terpegang gelas. Ia melihat kepada saya dengan tenang, alamat berpisah yang akhir. Dari
mulutnya keluar kalimah suci, bersamaan dengan kepergian nyawanya ke dalam alam yang baqa',
yang di sana tempat manusia lepas daripada segala penyakit.
Saya tercengang dan seakan-akan bingung, di tangan kanan saya sudu masih terpegang, di tangan
kiri saya berisi ubat; saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa botol yang telah kosong
dan ramuan dukun yang telah layu, limau manis yang dihantarkan oleh Zainab pagi hari itu baru
diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal terletak di atas meja. Waktu itulah baru saya insaf
bahawa itu bukan perkara sudu, gelas, bukan perkara ubat ramuan, tetapi perkara ajal semata-
mata…..
Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara di dunia ini!
Bersambung....
TEGAK DAN RUNTUH
Telah lalu kejadian itu dan dia telah memberi kesan ke dalam jantung saya; rupa-rupanya
kedukaan dan cubaan mesti diturunkan kepada manusia secukup-cukupnya dan sepuas-puasnya,
menanglah siapa yang tahan.
Sejak kematian itu tidak beberapa kerap lagi saya datang ke rumahnya, saya karam dalam
permenungan, memikirkan hidup saya di belakang hari, sebatang kara di dunia ini.
Pada suatu petang sedang matahari akan tenggelam ke dasar lautan di Batang Arau, di antara
Hujung Gunung Padang, di celah-celah ombak yang memecah ke atas pasir yang putih di Pulau
Pandan, di waktu saya sedang berjalan seorang diri di pesisir Batang Arau yang indah, melihat
perahu keluar masuk, tiba-tiba......
kelihatan oleh saya sebuah perahu tumpangan datang dari seberang, di atasnya duduk tiga orang
perempuan yang agak tua, bertudung kain bugis halus, setelah perahu kecil itu hampir, keluar dari
dalamnya perempuan-perempuan itu, seorang di antaranya ialah Mak Asiah sendiri, ia lekas
melihat saya, " Oh, engkau Hamid? Mengapa di sini?" Katanya.
" Berjalan-jalan emak," jawabku; " Dan emak dari mana?"
 " Dari menziarahi kubur bapamu….mengapa engkau tak datang ke rumah semenjak ibumu
meninggal?" Kerana Engku Haji Jaafar tiada lagi, akan engkau alangi saja datang ke rumah?
" Tidak emak, Cuma kematian yang bertimpa-timpa itu agak mendukacitakan hatiku, itu sebab
saya kurang benar keluar rumah.
" Tak boleh begitu, Hamid; sebabnya engkaulah yang mesti menyabarkan hati kami. Besok
engkau mesti datang ke rumah, ibu tunggu kedatanganmu, banyak yang perlu kita bincangkan."
" Baiklah mak."
" Saya tunggu, ya?"
" Baik, mak!"
Setelah itu ia pun pergi di tengah jalan, sebelum mereka naik dari sampan, rupanya pembicaraan
mereka terhadap diri saya saja. Kerana tak berapa jauh langkahnya, perempuan-perempuan tua
yang lain semuanya menoleh kepada saya sebagai rupa orang menunjukkan belas kasihan.
Besoknya janji itu pun saya tepati.
Wahai tuan, hari itulah masa yang tak dapat saya lupakan! Saya datang ke rumah itu, rumah
tempat saya bersenda gurau dengan Zainab di waktu kecil, rumah itu seakan-akan hilang
semangat dan memang kehilangan semangat, kerana bekas-bekas kematian masih kelihatan nyata.
Pintu luar terbuka sedikit dan saya ketuk pintunya yang mengadap ke dalam; pintu terbuka….
Zainab yang membukakan.
" Abang Hamid!" katanya.
Waktu itu kelihatan nyata oleh saya mukanya merah, nampak sangat gembiranya melihat
kedatangan saya. Baru sekali itu dan baru saat itu selama hidup saya melihat mukanya demikian,
yang tak pernah saya gambarkan dan tuturkan dengan susunan kata, pendeknya wajah yang
memberikan saya penuh pengharapan.
" Bang Hamid!" katanya menyambung perkataannya, " Sudah lama benar abang tak kemari, lupa
agaknya abang kepada kami!"
Gugup saya hendak menjawab; saya pintar mengarang khayal dan angan-angan tetapi bila sampai
di hadapannya saya menjadi seorang yang bodoh.
" Tidak, Zainab" jawabku dengan gugup; " Tetapi….. bukankan kita sama-sama kematian?"
" Memang, kematian itulah yang sepatutnya menjadikan abang kerap kemari."
Seketika itu mukanya kembali ditekurkannya menghadapi kakinya, tangannya berpegang ke
pinggir pintu, rambutnya yang halus menutupi sebahagian keningnya dan sepatah kata pun dia
tidak berbicara lagi.
" Zainab…" kataku pula. " Sebetulnya tidak saya…. Pernah lupa datang kemari, barangkali
engkaulah… agaknya yang … lupa kepadaku."
 Mendengar itu ia bertambah menekur, tak berani ia mengangkat muka lagi, dan saya pun gugup
hendak menambah perkataan, memang bodoh saya ini, dan pengecut!
Tiba-tiba dalam saya menyediakan perkataan yang akan saya katakana pula dalam sedang
merenungi kecantikan Zainab, kedengaranlah dari halaman tapak kaki emak Asiah menginjak
batu; Zainab mengangkat mukanya seraya berkata: " Itu ibu datang."
Saya masih dalam kebingungan, Zainab lalu kehadapan saya mengadap kedatangan ibunya.
Ketika sampai ke beranda dia berkata " Sudah lama Mid?"
" Baru sebentar, mak" jawabku.
Saya disuruh duduk, Zainab dengan segera pergi ke belakang memasak kopi sebagaimana
kebiasaannya. " Hampir mak terlupa akan janji kita. Tadi mak pergi ke rumah orang sebelah
kerana tiada lama lagi dia akan mengahwinkan anaknya; jadi dari sekarang sedang bersiap-siap
menyediakan yang perlu, maklumlah tetangga, perlu bantu-membantu."
Saya dengarkan perkataannya, tetapi fikiran saya masih tetap ingat kepada kejadian tadi. Fikiran
saya menjalar kemana-mana, memikirkan tegur Zainab dan mukanya yang merah ketika mula-
mula melihat saya; hanya suatu kejadian yang tiba-tibakah itu, atau adakah dia merasai apa yang
saya rasai? Dalam pada itu Mak Asiah masih tetap membicarakan beberapa perkara menyebut-
nyebut jasa suaminya, menyebut kebaikan ibuku. Akhirnya sampai pembicaraan kepada Zainab.
" Bagaimanakah fikiranmu Hamid, tentang adikmu Zainab ini?"
" Apakah yang emak maksudkan' Tanya saya.
" Semua keluarga di darat (darat adalah sebutan dari Padang Halus) telah bermuafakat dengan
emak hendak mempertalikan Zainab dengan seorang anak saudara almarhum bapamu, yang ada
di darat itu, dia sekarang sedang bersekolah di Jawa. Maksud mereka dengan perkahwinan itu
supaya hartabenda almarhum bapanya dapat dijagai oleh familinya sendiri, oleh anak saudaranya,
sebab tidak ada saudara yang lain, dialah anak yang tunggal. Pertunangan itu telah dirunding oleh
orang yang sepatutnya, jika tiada aral melintang, bulan depan hendak dipertunangkan dahulu,
nanti apabila tamat sekolahnya akan dilangsungkan perkahwinan. Hal ini telah mak rundingkan
dengan Zainab, tetapi tiap-tiap ditanya dia menjawab belum hendak bersuami, katanya, tanah
perkuburan ayahnya masih merah, airmatanya belum kering lagi. Itulah sebabnya engkau disuruh
kemari, akan emak lawan berunding, mak masih ingat pertalian engkau dan Zainab masa engkau
kecil dan masih sekolah; engkau banyak mengetahui tabiatnya apalagi engkau tidak
dipandangnya sebagai orang lain, sukakah engkau Hamid, menolong emak?" Lama saya
termenung…..
" Mengapa engkau termenung, Hamid? Dapatkan engkau menolong emak, melembutkan hatinya
dan memujuk ia supaya mahu? Hamid!.... emak percaya sepenuh-penuhnya kepadamu sebagai
Allahyarham bapamu percaya kepada engkau!'
" Apakah yang akan dapat saya Bantu mak? Saya seorang yang lemah. Sedangkan ibunya sendiri
tak dapat mematah dan melembutkan hatinya apatah lagi saya orang lain, anak semangnya."
" Jangan bercakap begitu, Hamid, engkau bukan emak pandang sebagai orang lain lagi, almarhum
telah memasukkan engkau ke dalam golongan kami, walaupun beragih tetapi tak bercerai. Maka
di atas namanya hari ini, di atas nama Haji Jaafar mak meminta tolong melembutkan hati
 adikmu."
" Oh itu namanya perintah, saya kabulkan permintaan mak."
Mukanya kelihatan gembira, meskipun dia tak sempat memperhatikan bagaimana perubahan
muka saya yang telah muram. Kemudian keluarlah Zainab membawa dua cawan kopi dan
beberapa piring kuih. Ibunya melihat kepadanya dengan kasih dan mesra, kerana pada diri
anaknya itulah tergantung pengharapannya dan penghabisan.
" Duduk, Nab, abangmu Hamid hendak berkata-kata sepatah dua kata dengan engkau."
Saya masih agak bingung dan Zainab telah duduk dekat ibunya dengan wajah kemalu-maluan.
Beberapa minit lamanya tenang saja dalam ruangan itu tak seorang jua pun di antara kami yang
berkata; ibunya seakan-akan menunggu supaya perkataan itu lekas dimulai, Zainab kelihatan
malu tak mahu melihat muka saya, sedang saya masih termenung memikirkan dari manakah
percakapan itu akan saya mulai.
" Bicaralah, Hamid, amat banyak masa terbuang," kata ibu dengan tiba-tiba. Sulit sekali untuk
memulai pembicaraan itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan suatu pekerjaan yang berat
hatinya melakukan, pekerjaan yang berlawanan dengan kehendak hatinya sendiri. Tetapi di balik
itu, sebagai seorang anak muda yang telah dicurahi orang kepercayaan dengan sepenuhnya, yang
sudi mengorbankan jiwa untuk menyimpan rahsia. Akhirnya hati saya dapat saya bulatkan dan
mulai berkata:
" Begini Zainab…. Sudah lama ayah meninggal, semenjak itu lenganglah rumah ini, tiada
seorang pembela pun yang akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan hidup di
dunia, seorang gadis perlulah mengikut perintah orangtuanya, terutama kita orang Timur ini. Buat
menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu menekan perasaan hati sendiri. Dia
mesti ingat sebuah saja, iaitu mempergunakan dirinya, baik murah atau mahal, untuk berkhidmat
kepada orangtuanya."
" Sekarang, kerana memikirkan kemuslihatan rumahtangga dan memikirkan hati ibumu, pada hal
hanya sendiri lagi yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau mahu
dipersuamikan…. dipersuamikan dengan…kemanakan ayahmu."
Seakan-akan terlepas dari suatu beban yang maha hebat saya rasanya, setelah selesai perkataan
yang sulit itu. Selama saya berbicara Zainab masih tetap menekur ke meja, tanganya
mempermain-mainkan sebuah pontong macis, diramas-ramasnya dan dipatah-patahnya, belum
sebuah juga perkataan keluar dari mulutnya. Setelah kira-kira lima minit lamanya, barulah
mukanya diangkat, airmatanya kelihatan mengalir, mengalir setitik dua titik ke pipinya yang
halus dan indah itu.
" Bagaimana, Zainab, jawablah perkataanku!"
" Belum abang, saya belum hendak kahwin.
" Atas nama ibu, atas nama almarhum ayahmu."
" Belum abang!"
 " Sampai hati abang memaksa aku?"
" Abang bukan memaksa engkau, adik… ingatlah ibumu."
Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis pula. Karam rasanya
bumi ini saya pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua kejadian yang hebat telah
membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi
mendapat sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah
tersedar; meskipun mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah
tamat sehingga itu tidak akan bertambah-tambah lagi.
Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab membalas cinta saya; pertemuan saya dengan dia itu
memberikan pengharapan sedikit pada saya, tetapi belum pengharapan itu dapat saya yakni
tibalah penyerahan ibunya yang berat itu.
Hanya hingga itu dapat saya ceritakan kepada tuan apa yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya
pun pulang ke rumah saya, di jalan pulang saya rasakan badan saya sebagai bayang-bayang tanah
serasa bergoyang saya pijakkan.
Bersambung....
BERJALAN JAUH
Dua kejadian yang berjuang pada hari itu, cukuplah untuk menentukan tujuan nasib saya; nikmat
hati hanya lalu sebagai khayal belaka. Setelah melayap laksana satu bayangan, ia pun hilang dan
tidak akan kembali lagi. Kepada Tuhan dapatlah saya menghantarkan satu kesyukuran yang
bersih, sebab saya telah dapat memberikan suatu pengorbanan untuk seorang perempuan yang
lemah, saya telah menolongnya, memujuk anaknya yang keras.
Untuk itu perasaan hati sendiri telah saya tekankan; sungguh besar sekali korban yang saya
berikan, memang kalau diukur dengan fikiran, saya ini hanya pantas menjadi saudara Zainab,
menjadi pembelanya, tetapi cinta mempunyai suatu lapangan yang lebih luas daripada ukuran
fikiran itu. Inilah yang tertulis dalam hati, yang sukar dilupakan selamanya. Ada suatu jawapan
yang tergantung, yang saya sempat dengar dari mulut Zainab, dan keras persangkaan saya akan
dirinya pada hari itu; itulah yang sentiasa menjadi penyakit pada saya, tetapi menjadi ubat juga.
Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kuasaNya.
Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangis pun ada pula.
Kita mesti mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib diri sendiri.
Bukankah patut saya syukur dan terima kasih, sebab seorang perempuan tua dapat saya tolong,
saya patahkan hati anaknya yang hanya satu tempat menumpahkan segala pengharapannya. Kalau
kelak terjadi perkahwinan Zainab dengan kemanakan ayahnya dan mereka hidup beruntung,
sehingga Mak Asiah waktu menutup mata tidak merasa bahawa ia masih ada hutang piutang
dengan anaknya, bukankah saya telah mengusahakannya?
Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang; bukahkan loceng-loceng dirumah juga berbunyi
keras dan berdengung jika kena pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke sedikit, dengung itu akan
berhenti juga. Cuma saja saya mesti berikhtiar, supaya luka-luka yang hebat itu jangan mendalam
kembali, saya mesti berusaha, supaya ia beransur-ansur sembuh. Untuk itu saya mesti berusaha,
saya mesti meninggalkan Kota Padang, terpaksa tak melihat wajah Zainab lagi, saya berjalan
jauh.
 Setelah saya siapkan segala yang perlu dan rumahtangga saya pertaruhkan kepada salah seorang
sahabat handai yang setia, dengan tak seorang pun yang mengetahui, saya berangkat
meninggalkan Kota Padang, kota yang permai dan yang sangat saya cintai itu, dengan
menekankan dan membunuh segala perasaan yang sentiasa mengharu hati, saya tumpangi kereta
yang berangkat ke Siantar.
Di kiri kanan saya banyak penumpang lain yang akan menuju ke kota Medan, setelah saya sampai
ke Medan, saya buat surat kepada Zainab, sesudah hati saya, saya beranikan; itulah surat saya
yang pertama kali kepadanya. Jika kelak ternyata dia tak cinta kepada saya, syukur, sebab saya
tak melihat mukanya yang kesal membaca surat. Tetapi kalau ia nyata ada mempunyai perasaan
sebagi yang saya rasai dan surat itu diterimanya dengan sepertinya, tentu sekurang-kurangnya
saya akan menerima belas kasihannya, sebagai seorang melarat yang diarak oleh untung nasib
saya.
Demikian bunyi surat itu masih hafaz oleh saya:
" Menyesal sekali, kerana sebelum berangkat tak sempat saya bertemu muka dengan adinda lebih
dahulu, maafkanlah adik, kerama amat banyak halangan yang menyebabkan saya tak sempat
datang ketika itu, halangan yang tak sapat saya sebutkan.
Barangkali agak sedikit tentu adik bertanya juga dalam hati, apa gerangan sebabnya abang Hamid
berangkat dengan tiba-tiba. Biarlah hal itu menjadi soal buat sementara waktu, lama-lama tentu
akan hilang jua dengan sendiri.
Banyak hal-hal yang akan saya terangkan dalam surat ini, tetapi tak sanggup pena saya
menulisnya. Hanya dengan surat ini saya bermohon sangat supaya adik menuruti cita-cita ibu.
Jika kelak maksud famili sampai dan adik bersuami; berikan kepadanya kesetiaan yang penuh.
Akan hal diri saya ini, ingatlah sebagai mengingat seorang yang telah pernah bertemu dalam peri
penghidupanmu, seorang sahabat dan boleh juga disebut saudara yang ikhlas dan saya sendiri
akan memandang tetap engkau sebagai adikku.
Jika pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan gembira dan beruntung, sampaikanlah
salam abang kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri yang jauh, yang tak tentu tanahnya, ada
seorang sahabat yang sentiasa ingat akan kita. Dan biarlah Allah memberi perlindungan atas kita
semuanya.
Wassalam abangmu,
Hamid,
Demikianlah bunyinya surat yang saya kirimkan. Tiada lama saya di Medan, saya menuju ke
Singapura, mengembara ke Bangkok, belayar terus memasuki tanah-tanah Hindustan, dan dari
Karachi belayar menuju ke Mesir masuk ke Iraq, melalui Sahara Najad dan akhirnya sampailah
saya ke tanah suci ini.
Sekarang sudah tuan lihat, saya telah ada di sini, di bawah lindungan Ka`bah yang suci, terpisah
daripada pergaulan manusia yang lain. Di sinilah saya selalu tafakur memohon kepada Tuhan
seru sekalian alam, supaya ia memberi saya kesabaran dan keteguhan hati menghadapi
kehidupan.
Setiap malam saya duduk beri`tikaf di dalam Masjidil Haram, doa saya telah berangkat ke langit
 biru, membumbung ke dalam alam ghaib bersama-sama permohonan segala makhluk yang
makbul.
Segala ingatan kepada zaman yang lama-lama, dari sedikit beransur-ansur lupa juga. Cuma
sekali-sekali ia terlintas difikiran, ketika itu saya menarik nafas panjang, kerana biar pun luka
sembuh dengan kunjung, bekasnya mesti ada juga. Tetapi hilang pula dengan segera, bila saya
bawa tawaf dan sa`ie(berjalan antara Safa dan Marwah), atau saya bawa bertekun di dalam masjid
tengah malam. Sudah hampir datang tamaninah (ketetapan) ke dalam hati saya menurut
persangkaan saya mula-mula, tamatlah cerita ini sehingga itu.

BERITA DARI KAMPUNG
Setelah setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji telah datang. Tuan sendiri yang mula-
mula saya kenal semenjak orang-orang yang akan mengerjakan haji dari tanahair kita. Kemudian
sebagai tuan maklum, datanglah pula saudara kita Salleh ini. Salleh adalah salah seorang teman
saya semasa kami bersekolah agama di Padang dan Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di
Padang telah tamat, dia hendak meneruskan pelajarannya ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk
mencukupkan rukun. Sekarang ia berangkat ke Medinah, supaya sehabis haji dapat ia
menumpang kapal yang membawa orang Mesir kembali yang sewanya lebih murah dari kapal-
kapal lain.
Dengan kebetulan sekali, dia telah memilih syeikh kita menjadi tempatnya, menumpang,
sehingga sahabat lama itu bertemu kembali, setelah kami bercerai selama itu.
Wahai tuan….. kedatangannya telah menghidupkan ingatan kembali kepada yang lama-lama, dia
menceritakan kepadaku, bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah sudi melepaskan die belajar
sejauh itu.
Padahal mereka baru saja berkahwin. Dipujinya isterinya sebagai seorang perempuan yang setia,
yang teguh hatinya melepaskan suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah
pengetahuannya. Setelah beberapa hari dia datang, dibawanya saya ke Maala di atas sebuah
bangku di halaman qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat menggerakkan fikiran
saya.
Sambil meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia mulai berkata:
" Hamid! Tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya telah beristeri, isteri saya itu ialah
Rosnah..ingatkah engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?"
Saya pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana sudah lama benar saya tiasa mendengar
nama itu disebut orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu dilihat oleh Salleh sambil
tersenyum duka.
" Kerapkali isteriku disuruhnya datang kerumahnya" katanya meneruskan ceritanya. " Kerana
hubungan persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah sudi membukakan rahsia-
rahsianya yang sulit kepada isteri saya. Yang paling hebat, ialah seketika pada suatu hari isteri
saya datang ke rumahnya, didapatinya Zainab merenung sebuah album, di dalam album itu
terkembang sehelai surat kecil yang telah lusuh dan lunak, kerapkali dibaca dan dibuka
lipatannya. " Setelah adinda kelihatan olehnya" kata isteriku," album itu ditutupnya dengan segera
dan surat itu disimpannya baik-baik ke dalam laci mejanya, setelah itu dia kelihatan kepada
adinda dengan tenang, wajahnya muram, matanya berbekas tangis dan dia menarik nafas
panjang".
 " Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian itu, maklumlah kaum perempuan itu
seperasaan, lalu ia berkata: " Zainab!.... mengapa engkau menangis pula, sahabat? Tidakkah di
rumah yang sepermai ini sarang orang yang berdukacita.Di rumah yang indah-indah dan gedung
yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan
orang-orang gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang mengalirkan airmata. Disana
tidaklah ada kesedihan dan kedukaan."
Zainab menjawab: " Salah sekali persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia
memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata adalah kepunyaan
bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk,
oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga
oleh penghuni gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih
banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung
oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh
dengan kepahitan."
" Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia menerangkan fahamnya yang
tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan menghilangkan.
Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan
dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung".
Airmata Zainab kembali jatuh.
" Mengapa engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan apakah yang engkau tanggungkan?
Teringatkah engkau kepada ayahmu? Kalau demikian, engkau salah, Zainab! Lupa engkau
agaknya, bahawa kedukaan itu tumbuh diapit oleh dua rumpun kesukaan."
" Bukan demikian, sahabat!" jawabnya. " Buat diriku sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan
dari orang. Kedukaanku tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu saya telah berduka,
sekarang berdukacita dan kelak akan terus berluka hati."
" Engkau mengesali nasib, Zainab!"
" Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya bukan, melainkan yang sebetulnyalah yang
saya katakan."
" Zainab…. Kalau tidak akan merbahaya benar, nyatakanlah kepadaku, apa yang menjadi sebab
dukacitamu sebesar itu benar. Kerana sudah agak lama saya melihat mukamu muram, sehingga
airmata saya sendiri kerapkali bersyarikat, tercurah untuk kesedihanmu, sahabat! Saya akan
meratap menuruti ratap engkau, kerana tidak ada kepandaian kita kaum perempuan selain dari
menangis."
Laksana seorang anak yang memohon dikasihani, dipeluknya Rosnah, seketika lamanya kedua
sahabat itu berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata-kata.
" Sudahlah, zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau, demikian pun saya, ditimpa oleh
penyakit lain. Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu, mudah-mudahan kerana
sesudah ada tempat menerangkan, tanggungan itu supaya ringan sedikit, sebab beban untuk
sendiri telah dibahagi dua." Mula-mula termenung, setelah beberapa saat lamanya ia pun berkata:

HARAPAN DALAM PENGHIDUPAN
" Ingatkah engkau, Ros, bahawa duhulu ada tinggal berhampiran rumahku ini seorang anak muda
bernama Hamid?" " Masihkah aku tak ingat, anak muda yang baik budi dan beroleh pertolongan
daripada almarhum ayahmu." " Ah, Ros, saya amat kasihan kepada orang muda itu, dia seorang
muda yang hidup miskin, mendapat bantuan daripada ayahku, semasa usianya baru 4 tahun
ayahku yang membantunya, dan seketika sekolahnya akan lanjut, ayahku meninggal pula,
 kemudian meningal ibunya. Rupanya kerana ia sentiasa dirundung malang, sangatlah dukacita
hatinya, berbulan-bulan khabar tidak berita pun tidak, budinya baik sekali, pekertinya tinggi dan
mulia; memang dalam kalangan orang-orang yang dirudung malang itu kerapkali timbul budi
pekerti yang mulia, timbul dengan baik dan suburnya, bukan kerana latihan manusia.
" Bertahun-tahun lamanya kami hidup seperti adik beradik; maka pada dirinya saya dapati
beberapa sifat yang tinggi dan terpuji, yang agaknya tidak ada pada pemuda-pemuda lain, baik
dalam kalangan bangsawan atau hartawan sekalipun. Sampai kepada saat yang paling akhir
daripada kehidupan ayahku, belum pernah ia menunjukkan suatu perangai yang patut dicela,
sehingga ibu-bapaku amat memuji akan dia. Ia tahu benar akan kewajipannya. Wahai Ros, saya
tertarik benar kepadanya dan kepada tabiatnya. Ia suka sekali bersunyi-sunyi, memisahkan diri
daripada pergaulan ramai, laksana seorang pendita bertapa yang benci akan dunia lata ini.
Kerapkali ia pergi bermenung ke tepi pantai samudera Hindi yang luas itu, memerhatikan
pergelutan ombak dan gelombang, seakan-akan fikirannya terpaku telah terpaku kepada
keindahan alam ini. Bila dia pulang ke rumah ibunya yang dicintai, ia menunjukkan khidmatnya
dengan sepertinya bila dia bertemu dengan saya, buah katanya tiada keluar dari lingkar
kesopanan, tahu ia menimbang hati dan menjaga kata.
Sebagai yang kau tahu, kita pun tamat dari sekolah, maka adat-istiadat telah mendinding
pertemuan kita dengan lelaki yang bukan muhrim bukan saudara atau famili karib, waktu itulah
saya merasai kesepian yang sangat. Saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat saya
takjupi. Keadaan memisahkan saya dengan dia, tiada dapat lagi saya mendengarkan buah tuturnya
yang lemah lembut. Waktu itulah saya insaf, bahawa saya sudah ditimpa suatu perasaan yang
ganjil, saya lengang dan sunyi, ingatan saya sebentar-sebentar kembali kepada Hamid saja.
" Engkaukan tahu, Ros, Hamid tidak begitu gagah, tidak sepantas dan segalak pemuda lain, tetapi
hati kecilku amat kasihan kepadanya, agaknya, hidupnya yang sederhana itulah yang telah
memaut hati sanubariku. Saya sangat hiba kepadanya kerana saya merasa tak ada orang lain yang
akan menghibai dirinya. Hairan Ros, saya telah karam di dalam khayal, di dalam angan-angan.
Kadang-kadang saya singkirkan dia dari fikiran, kerana timbul memikirkan takburku memikirkan
darjatku, saya merasai ketinggian dan kemuliaan diriku, lebih daripada kedudukan darjat Hamid
dan saya takut terjatuhnya ke dalam jurang cinta, tetapi orang mengkhabarkan bahawa takut
itupun setengah daripada rupa cinta juga."
Maka di antara awan yang gelap gelita dan angin badai yang berhembus semenjak pertengahan
malam, tiba-tiba cahaya fajar pun naiklah, itulah kenang-kenangan dan pengharapan, daripada
cinta dan rindu dendam. Sebenarnya Ros…..saya cinta kepada Hamid.
Biar engkau tertawakan daku, sahabat, biar mulutmu tersenyum simpul, saya akan tetap berkata,
bahawa saya cinta kepada Hamid. Ia tidak berpembela, tidak ada orang yang akan sudi
menyerahkan diri menjadi isterinya, kerana dia miskin, tidak ada gadis yang akan sudi
mempedulikan dia, kerana rupanya tak gagah. Itulah sebabnya dia saya cintai, hartaku ada sedikit,
cukup untuk membantu cita-citanya, kerana saya lihat dia akan menjadi seorang ahli seni jika ada
yang membantu. Buat saya dialah orang yang paling pantas dan cekap. Meskipun bagi orang lain
agaknya tidak. Saya leluasa melihatnya lalu lintas di halaman rumah, meskipun dia tak melihat
saya. Jika sekali-sekali dia datang mengunjungi ibuku, aku dengarkan perkataannya yang penuh
dengan ilmu dan pengetahuan itu baik-baik.
Pada suatu hari, hari yang tak dapat saya lupakan, ia datang kerumah ini menemui ibuku. Ketika
itu ibu tiada di rumah, tiba-tiba saya bertemu muka dengan dia. Rupanya ada perkataan yang
 hendak dikatakannya, mulutnya masih gugup dan tak lancar, rasa-rasa terdengar olehku sekarang:
" Zainab, sebenarnya tidaklah pernah saya lupa hendak datang kemari, barangkali engkaulah yang
agak lupa kepadaku."
Alangkah nikmatnya rasa hatiku mendengar perkataannya itu, tetapi belum sempat saya
menyusun kata untuk menjawab, ibu datang, perkataan kami terhenti sehingga itu. Badanku
serasa bayang-bayang perkataannya menjadi teka-teki bagi hatiku, adakah tutur katanya itu
daripada rasa pertalian adik dan abang saja atau daripada kesucian cinta?
" Agaknya, engkau pandang rendah saya ini, Ros, mencintai seorang yang tiaa bersekedudukan
dengan diri sendiri, dan jauh tak tentu tempatnya."
" Waktu itu isteriku menjawab," kata salleh, ujarnya: " Tidak Nab, cinta itu adalah perasaan yang
mesti ada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci,
Cuma tanahnya lah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah
oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perangai
yang tercela. Tetapi kalau ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati,
keikhlasan, setia, budipekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji. Saya tiada hendak
menghinakan engkau kerana jatuh cinta padanya, wahai sahabatku Zainab, dan saya banyak pula
membaca dalam buku-buku, bahawa biasa cinta yang suci bersih itu tidaklah tumbuh dengan
sendirinya, kerana jiwa itu bertemu dengan batin, dalam azal (baka) kejadian Allah sebelum
badan kasar manusia ini berkenalan. Itulah kuasa ghaib yang perlu kita percayai. Sebab itu saya
percaya bahawa cintamu tak jatuh ke pasir tentu saja Hamid mencintai engkau pula; tidaklah jiwa
engkau tertarikh mengingat akan dia, kalau kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati
orang yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh orang lain."
" Ah" jawab Zainab " Itu Cuma kira-kira dan agak-agak belaka, agak-agak dan kira-kira tak dapat
dipercayai, masakan orang yang berpisah sangat jauh, tak berhubungan surat sedikit jua pun akan
ingat kepada orang yang ditinggalkannya."
" Jangan begitu, Zainab, engkau tiada percaya percakapanku, kerana hatimu terlalu dipengaruhi
oleh angan-anganmu. Percayalah bahawa Hamid ingat pula akan engkau."
" Wahai……kesana rumit..ke sini rumit, Ros; saya percayai bahawa dia ingat kepadaku
sebagaimana saya ingat kepadanya, entah agaknya saya menggantang-gantang asap. Tidak saya
percayai, hati saya bertambah luka. Saya tahu mengingat orang jauh itu penyakit, tetapi saya pun
takut penyakit itu akan hilang dari hati saya….aduh gusti Allah!!"
Setelah itu terhenti sendiri percakapan kedua sahabat itu. Yang kedengaran hanya sedu-seduan
dua orang seperasaan dan yang kelihatan ialah orang yang keluh kesah putus asa."
Sekianlah cerita yang dibawa oleh sahabat kita Salleh itu. Tidak berapa lama ia menerima riwayat
ganjil itu dari isterinya, ia pun berangkat. Rupanya dengan takdir Tuhan, kami pun bertemu di
tanah suci ini, pertemuan yang tidak di sangka-sangka sedikit pun.
" Barangkali terganggu perjalanan jiwamu menuju bakti kesucian kerana mendengar berita yang
saya bawa itu" kata Salleh. " Tetapi saya sebagai orang yang tiada tahan memegang rahsia
sehingga terkatakan juga olehku kepada engkau, dan beruntung engkau Hamid…..Berbahagia
sekali."
" Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tak berpengharapan? " Tanya saya dengan tiba-
tiba kepadanya.
 " Bukanlah cinta itu sudah satu keuntungan dan satu pengharapan Hamid?" Tanyanya pula…..
Setelah itu saya menerangkan berita itu, tidak berapa hari kemudian Salleh mengirimkan sepucuk
surat buat isterinya Rosnah menerangkan pertemuan kami dengan tiba-tiba itu…..
Tuan!….telah bertahun-tahun saya berjalan di dalam gelap gelita. Tidak tentu arah yang saya
tempuh, tidak kelihatan suatu bintang di halaman langit akan saya jadikan pedoman dalam
menuju perjalanan itu demi setelah sampai berita yang demikian. Seakan-akan kegelapan itu
terang sedikit ke sedikit, sebab dari Timur melintang cahaya fajar, cahaya yang saya nanti-nanti,
cahaya itu lebih benderang dari cahaya suria, lebih nyaman dari cahaya bulan dan lebih dingin
dari cahaya kelap-kelip bintang-bintang.
Saya hidup laksana seorang buangan yang tersisih pada suatu padang belantara yang jauh laksana
seorang bersalah besar yang dibuang negeri, tiada manusia yang datang menengok, tidak ada
famili yang melihat, ditimpa oleh haus dan dahaga, sekarang saya telah lepas dari pembuangan,
saya telah dibolehkan pulang dan beroleh ampun, telah ada manusia yang lalu-lintas, telah hilang
haus dan dahaga, sekarang baru saya tahu dan mengerti, bahawa sukacita itu ada juga dijadikan
Tuhan di dalam dunia fana ini.
Dahulu kalau disebut orang kepada saya untung dan bahaya, tidak lain yang terlintas dalam
fikiran saya daripada rumah yang indah, gedung yang permai, wang berbilang, emas bertahil,
cukup dengan kenderaan dan kehormatan, dijunjung orang ke mana pergi. Sekarang saya telah
insaf, bahawa semua itu bukan untuk bahagia, yang sejati ialah jika kita tahu, bahawa kita bukan
hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang yang mencintai kita.
Lebih setahun saya menghilangkan diri, tidak ada orang lain yang bertanya hal ehwal saya dan
saya pun tak bertanya hal ehwal orang lain. Segala kesakitan hidup telah saya tanggungkan. Ada
juga orang yang menyatakan kasihan, ada orang yang lalu lintas di hadapan saya, sambil
menggelengkan kepala. Tetapi bukanlah mereka mengasihi jiwa saya, mereka mengasihi tubuh
kasar saya yang kurus tak makan atau ditimpa penyakit. Semuanya tiada erti buat saya. Sekarang
barulah saya tahu diri saya ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang mencintai saya, iaitu
orang yang saya cinta.
Dahulu saya telah putus asa hendak hidup, kadang-kadang terlintas di dalam hati saya hendak
membunuh diri. Akan sekarang, wahai tuan, saya hendak hidup, hendak merasai kelazatan cahaya
matahari sebagai orang lain pula, sebab pengetahuan hidupku telah ada.
************ ********* ************
Habislah cerita sahabatku Hamid hingga itu, mukanya kelihatan berseri-seri, sebab simpanan di
dadanya meluap selama ini telah dapat ditumpahkannya kepada orang yang dapat dipercayainya.
Waktu itu saya menjawab sambil bergurau sedikit: " InsyaAllah, habis mengerjakan haji saya
akan lekas kembali pulang, mudah-mudahan kita dapat pulang bersama-sama."
Iapun menjawap sambil tersenyum " Mudah-mudahan………"
Bersambung....
SURAT-SURAT
Sepuluh hari sebelum orang-orang haji berangkat ke `Arafah mengerjakan wuquf jemaah-jemaah
 telah kembali dari ziarah besar ke Madinah. Waktu itulah pula Salleh kembali ke Mekah. Surat
balasan dari isterinya yang datang sepeninggalannya ke Madinah telah kami serahkan ke
tangannya. Dalam minggu itu juga datang surat Zainab kepada Hamid.
Salinan surat Rosnah.
Kandaku tuan!
Surat kekanda telah adinda terima, surat yang telah lama adinda harap-harapkan…. Disini ada
beberapa perkataan lagi- isteri (yang tak perlu saya salin)
Akan hal Zainab ia sekarang sakit-sakit, badannya telah kurus agaknya kerana selalu ingat segala
kejadian yang lama-lama itu, adinda, tiada dapat menahan hati, melihat surat kekanda kepadanya.
Seketika membaca surat itu, badannya kelihatan gementar, entah kerana cemasnya entah kerana
harapannya, dapatlah kekanda maklumi sendiri. Ia sangat harap dan sangat rindu hendak bertemu
dengan Hamid, tetapi hatinya menjadi syak wasangka memikirkan badannya yang selalu tiada
sihat itu, entah akan bertemu juga entah tidak.
Alangkah beruntungnya dua orang bersahabat itu kelak, jika mereka dapat bertemu kembali. Ya,
mudah-mudahan Allah yang pengasih lagi penyayang mengkabulkan permohonan hambaNya,
Amin!

Rosnah.
Salinan surat Zainab
Abangku Hamid!
Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja
dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggalan yang empunya
pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya adinda telah bersalah besar sehingga
kekanda pergi tak memberitahu dahulu.
Sayang sekali, pertanyaan abang belum adinda jawab dan abang hilang sebelum mulutku sanggup
menyusun perkataan penjawabnya. Kemudian itu abang perintahkan adinda menurut perintah
orang tua, tetapi adinda syak-wasangka melihatkan sikap abang yang gugup ketika menjatuhkan
perintah itu.
Wahai abang…. Pertalian kita diikat oleh beberapa macam tanda Tanya dan tekateki, sebelum
terjawab semuanya, kita telah berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendah takdir?
Adinda sentiasa tiada putus pengharapan, adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap
kalimah daripada suratmu. Abang!....surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar
jauh, telah adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di balik
yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas tetapi kearah manakah surat itu hendak
adinda kirimkan, abang hilang tak tentu rimbanya!
Hanya kepada bulan purnama di malam hari adinda bisikkan dan adinda pesankan kerinduan
adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tetap tak datang; pada malam yang berikutan dan
seterusnya ia kian kusut….. hanya kepada angin petang yang berhembusan di ranting-ranting
kayu di dekat rumahku, hanya kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya
memeliharakan abangku yang berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara kehausan.
 Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda terima selama hidup adinda
tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata itulah kepandaian yang paling
penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meski pun ia telah lapuk dalam lipatan
dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.
Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari entah besok petang, gerak
Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya abang dapat pulang, dapat juga hendaknya kita
bertemu…..
dan jika abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak
mijan yang dua, hanya yang akan abang dapati.
Adikmu yang tulus:
Zainab.

Wahai, akan dapatkah dilukiskan, dapatkah diperikan bagaimana wajah Hamid ketika membaca
surat itu? Dapatkah, mungkinkah dikira-kirakan bagaimana perasaannya di waktu itu? Surat
demikian adalah pengharapannya selama ini, pengharapannya dan buah mimpinya semasa ia
masih bergaul, memikirkan kerendahan darjatnya, tiadalah disangka-sangkanya bahawa ia akan
seberuntung itu, menerima surat dari Zainab, belumlah besar kegembiraan seorang budak jika ia
diajak tersenyum oleh penghulunya; belumlah besar sukacita seorang pelayan istana jika ia
dianugerahi sebentuk cincin oleh rajanya. Surat tanda cinta dari seorang perempuan, perempuan
yang mula-mula dikenal dalam penghidupan seorang pemuda, adalah lebih berharga kepada
senyuman seorang penghulu daripada budaknya yang lebih mulia daripada sebentuk cincin yang
dianugerahkan raja kepada pelayannya. Satu hati, adalah lebih mahal daripada senyuman, satu
jiwa adalah lebih berharga daripada sebentuk cincin.
Tetapi malang kerana surat itu diterima Hamid, ketika dia telah jauh dari hadapan Zainab. Apa
lagi manusia tidak dapat menentukan nasibnya sendiri.

DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH
Pada hari kelapan Zulhijjah perintah daripada syeikh kami menyuruh menyiapkan segala
keperluan untuk berangkat ke `Arafah, kerana pada hari kesembilan akan wuquf (Berhenti sehari
lamanya) di sana. Berangkat itu ialah tiga hari setelah kami menerima surat tersebut.
Akan hal Hamid, bermula menerima surat itu tidaklah berkesan pada mukanya, bahawa dia
dipengahruhi oleh isinya, tetapi setelah sehari dua hari, kelihatan ia termenung saja, bertambah
daripada biasa, ketika kami tanyai keadaannya, ia mengatakan, bahawa badannya terasa sakit-
sakit. Tetapi oleh kerana pergi wuquf ke `Arafah menjadi rukun daripada mengerjakan haji, tak
dapat tidak ia pun mesti ikut ke sana. Maka dipasanglah sakdup-sakdup di punggung unta yang
beribu-ribu banyaknya. Bersedia hendak membawa orang haji ke `Arafah itu. Kira-kira pukul
empat petang, jemaah-jemaah telah berangkat berduyun-duyun menuju ke `Arafah, jalan sempit
dan penuh oleh manusia dan kenderaan berbagai-bagai, ada yang mengenderai keldai, kuda dan
unta, tetapi yang paling banyak duduk dalam sakdup iaitu dua buah tandu yang dipasang kiri
kanan punggung unta. Saya bersama dengan Hamid menumpang dalam satu sakdup.
Di `Arafah sangat benar panasnya, sehingga ketika berhenti di tempat itu sehari lamanya, kita
ingat-ingat akan berwuquf kelak di padang Mahsyar. Setelah matahari terbenam kami kembali
 menuju ke Mina, berhenti sebentar di Muzdalifah memilih batu untuk melempar " Jumrah" di
Mina itu kelak. Setelah berdiam di Mina pada hari yang ke sepuluh, ke sebelas, kedua belas,
ketiga belas, bolehlah kembali ke Mekah mengerjakan tawaf besar dan Sai`e, setelah itu bercukur,
sehabis bercukur baru disebut " haji".
Pada perhentian besar di Mina itu, orang-orang yang kaya menyembelih korban untuk fakir dan
miskin.
Sekarang kembali diceritakan keadaan Hamid. Demamnya yang dibawa dari Mekah bertambah
menjadi-jadi, lebih-lebih setelah mendapat hawa yang panas di `Arafah itu. Di sana banyak orang
yang mati kerana kepanasan. Hamid tak mahu lagi makan, badannya sangat lelah, sehingga
seketika berangkat ke Mina ia tiada sedarkan dirinya, demi melihat hal itu, jantung saya berdebar-
debar, saya kasihan kepadanya. Kalau-kalau di tempat itulah dia akan bercerai buat selama-
lamanya dengan kami, lebih-lebih melihat mukanya yang sangat pucat dan badannya yang sangat
lemah.
Setelah selesai penyembelihan besar itu, pada hari yang ke sebelas kami berangkat ke Mekah,
iaitu mengerjakan rukun yang agak cepat, tidak menunggu sampai tiga hari. Sebelum
mengerjakan tawaf besar itu, lebih dahulu kami singgah ke rumah kami. Kerana penyakit Hamid
rupanya bertambah berat, terpaksalah kami mencarikan orang Badwi upahan, yang biasanya
menerima upah mengangkat orang sakit mengerjakan tawaf. Sebelum Hamid diangkat ke atas
bangku itu, yang diberi hamparan daripada kulit dahan kurma berjalin, khadam syeikh datang
terburu-buru menghantarkan sepucuk surat dari Sumatera, setelah kami buka, ternyata datangnya
dari Rosnah. Muka Salleh menjadi pucat,jantung saya berdebar-debar membaca isinya yang tiada
sangka-sangka, Zainab telah meninggal, surat menyusul, Rosnah.
Setelah dibacanya dengan sikap yang sangat gugup Salleh menyimpan surat kawat itu ke dalam
sakunya, sambil memandang kepada Hamid dengan perasaan yang sangat terharu.
Tiba-tiba dari tempat tidurnya Hamid kedengaran berkata; " Surat apakah yang tuan-tuan terima?
Apakah sebabnya tuan-tuan sembunyikan daripadaku? Adakah ia membawa duka atau khabar
suka? Jika ia khabar suka, tidakkah patut saya diberi sedikit saja daripada kesukaan itu? Kalau
khabar itu mengenani diri saya sendiri lebih baik tuan-tuan terangkan kepada saya lekas-lekas,
tidaklah patut tuan-tuan sembunyikan lama-lama jangan dibiarkan saya di dalam sakit
menanggung perasaan yang ragu-ragu."
" Tenagkanlah hatimu, sahabat! Kehendak Allah telah berlaku, ia telah memanggil orang yang
dicintaiNya ke hadratNya."
" Oh, jadi Zainab telah dahulu daripadaku? " tanyanya pula.
" Ya, demikianlah, sahabat!"
Mendengar jawapan itu kepanya tertekun, ia menarik nafas panjang, dari pipinya meleleh dua
titik airmata yang panas.
Tidak beberapa saat kemudian, datanglah Badwi tersebut membawa tandu yang kami pesan,
Hamid pun dipindahkan ke dalam dan diangkat dengan segera menuju Masjidil Haram, saya dan
Salleh mengiringkan di belakang menurut Badwi yang berjalan cepat itu. Setelah sampai di dalam
masjid, dibawalah dia tawaf keliling Ka`bah tujuh kali. Ketika sampai yang ke tujuh kali
diisyaratkannya kepada Badwi yang berdua itu menyuruh menghentikan tandunya di antara pintu
 Ka`bah dengan batu hitam, di tempat yang bernama Maltezam, tempat segala doa yang makbul.
Orang lain tawaf pula berdesak-desak. Dengan sifat sabar orang-orang Badwi mengangkat tandu
ke dekat tempat yang tersebut. Hati saya sangat berdebar melihatkan keadaan itu, saya lihat muka
Hamid, di sana sudah nampak terbayang tanda-tanda kematian. Sampai di sana dihulurkannya
tangannya, dipegangnya kesoh kuat dengan tangannya yang telah kurus, seakan-akan tidak akan
dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran oleh saya dia membaca doa demikian bunyinya:
" Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Ka`bah,
rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia.
Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku!
Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang
akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau.
Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orang-
orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya.
Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali….."
Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya terbayang suatu cahaya muka yang jernih
dan damai, cahaya keredhaan daripada Ilahi.
Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan….sampailah waktunya lepaslah ia daripada
tanggungan dunia yang amat berat ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan Ka`bah!
Pada hari itu selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dimakamkan di perkuburan Ma`ala yang
masyhur.
SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL
Dua minggu sudah kejadian itu, datanglah surat Rosnah yang dijanjikannya kepada suaminya itu,
demikian bunyinya:
" Kekanda yang tercinta!"
Adinda kirimkan surat ini menyusul surat kawat yang dahulu. Zainab meninggal. Apakah dari itu
lagi yang harus adinda nyatakan? Dia telah menanggung penyakit dengan sabar dan tawakkal,
mula-mula adinda hendak sampaikan khabar ini kepada Hamid, sebab sentiasa Hamid menjadi
buah mulutnya sampai saatnya yang penghabisan, tiba-tiba kawat kekanda datang pula, Hamid
telah menyusul kekasihnya.
Demikianlah kedua makhluk yang tidak beruntung nasibnya itu, mudah-mudahan arwahnya
mendapat bahagia di akhirat.
Adinda harus mengaku, bahawa jarang sekali kita bertemu dengan seorang perempuan sebagai
Zainab. Tidak ada orang yang tahu tentang keadaan dirinya, kecuali ibunya dan adinda.
Pendengaran yang sampai kepadanya, bahawa Hamid ada di Mekah mengobarkan kembali akan
api yang telah hampir padam.
Lima hari sebelum ia meninggal dunia, pagi-pagi benar dia sudah bangun dari tempat tidurnya,
mukanya lebih jernih dari biasa. Dengan senyum dia berkata, bahawa dia bermimpi melihat
 Ka`bah, dantara manusia yang sedang tawaf. Dia melihat Hamid melambaikan tangannya
memanggil dia, supaya mendekatkan kepadanya, setelah dia mendekat dia terbangun…..
Lepas hari itu, tidak banyak bicara lagi, doktor pun datang juga memeriksai dia, tetapi ketika
melihat wajahnya, mengertilah adinda, bahawa ubat yang dibawanya sebenar-benarnya ialah buat
ibu Zainab, tidak buat Zainab lagi, sebab di tangga ketika dia akan pulang, jelas benar oleh adinda
doktor itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
Pada malam 9 Zulhijjah panasnya naik daripada biasa. Kira-kira pukul dua tengah malam,
dipandangnya adinda tenang-tenang, kemudian dilihatnya pula buku album yang terletak di meja
tulisnya; adinda pun mengertilah apa yang dimaksudkannay. Adinda ambil album itu dan adinda
buka. Demi dilihatnya gambar Hamid, jatuhlah dua titis airmata yang bulat dari mata yang telah
cekung itu. Setelah itu diambilnya tangan ibunya, dibawanya ke dada. Maka dengan beransur-
ansur, laksana lampu yang kehabisan minyak, bercerailah badannya dengan sukmanya.
Kekanda, demikianlah kematian zainab, dan sekarang suatu pula yang menjadikan was-was
adinda, iaitu keadaan ibunya, bagaimanakah kelak perasaan perempuan itu kerana kehilangan
anaknya.
Sekianlah dan buat semangat orang yang telah mati, adinda kirimkan salamku dan moga kekanda
lekas pulang.
Adindamu
Rosnah
PENUTUP
Kian lama kian sunyilah tanah Mekah. Bukit-bukit yang telah gondola itu tegak dengan teguhnya
laksana pengawal yang menyaksikan dan menjagai orang haji yang beransur pulang ke kampong
masing-masing. Kedai-kedai kian sudah tutup, sebab 6 bulan pula lamanya pasar akan sepi. Tidak
putus-putus unta berarak-arak diiringkan oleh gembalanya bangsa Badwi sambil bernyanyi-
nyanyi.
Sehari sebelum kami meninggalkan Mekah, pergilah kami berziarah ke perkuburan Ma,ala
tempat Hamid dikuburkan. Di sana masih bertemu kesannya, meskipun agak sukar mencarinya,
sebab telah banyak pula orang lain yang berkubur. Saya hadapkan muka saya ke pusara itu dan
saya berkata:
" Penghidupanmu yang tiada mengenal putus asa, kesabaran dan ketenangan hatimu menanggung
sengsara, dapatlah menjadi tamsil dan ibarat kepada kami.
Engkau telah mengambil jalan yang lurus dan jujur di dalam memupuk dan mempertahankan
cinta. " Allah adalah Maha adil, jika sempit bagimu dunia ini berdua, maka alam akhirat adalah
lebih lapang dan luas, di sanalah kelak makhluk menerima balasan dari kejujuran dan
kesabarannya; di sanalah penghidupan yang sebenarnya, bukan mimpi dan bukan khayalan.
" Kami pun dalam menunggu titah pula, sebab ada masanya datang dan ada masanya pergi. "
Selamatlah, moga-moga Allah memberi berkat atas jiwamu dan jiwa Zainab."
Pukul empat petang kami tawaf keliling Ka`bah " Tawaf Wida" ertinya tawaf selamat berpisah.
Sehari itu juga kami akan berangkat ke Juddah. Saudaraku Salleh belayar dengan kapal yang
 menuju ke Mesir……
Dan kapalku memecahkan ombak dan gelombang menuju ke tanahair yang tercinta………..

TAMAT
" Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi,
" Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa,
" Dalam kesempitan hidup, ada keluasan ilmu,
" Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah S.W.T.
* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.
* Cetakan : Pustaka Antara

Post a Comment

 
Top